Latar Belakang.

Jabatan Kastam dan Eksais Diraja adalah salah sebuah Jabatan yang tertua yang ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam sejak tahun 1906 yang dikenali dengan gelaran Pejabat Kastam.  Kewujudan Pejabat Kastam adalah ekoran terhasilnya Undang-undang Kastam mengenai dengan tanggungjawab impot & ekspot bagi maksud perbelanjaan pentadbiran dibawah kawalan resident British. Peranan dan tanggungjawab Pejabat Kastam bukan hanya difokuskan kepada pungutan hasil cukai impot & ekspot serta mengawal kegiatan-kegiatan penyeludupan tetapi juga telah dilaratkan dalam hal ehwal kewangan (treasury) berikutan penyatuannya dengan Pejabat Perbendaharaan pada tahun 1915.

Sejak Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1984, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja telah banyak mengalami perubahan dan pembaharuan dalam bidang perkastaman selaras dengan perkembangan semasa ekoran penglibatan jabatan dalam pertubuhan-pertubuhan kastam antarabangsa seperti ASEAN, APEC, ASEM, WCO dan lain-lain lagi.

 

CATATAN RINGKAS SEJARAH PERKEMBANGAN

1906

Pejabat Kastam sementara telah dibina disebuah pulau ditengah-tengah Pekan Brunei (kawasan bandar). Beberapa tahun kemudian berpindah ke darat iaitu berdekatan dengan sungai Brunei.

April,  Undang-undang dan Peraturan-peraturan Kastam mengenai pungutan kadar cukai masuk mulai diperkenalkan.

1914

Jabatan Kastam bergabung dengan Jabatan Monopoly, diketuai oleh Mr. Goldfinch (Penguasa Kastam dan Monopoly) dengan seramai 17 orang kakitangan.

1915

Jabatan Kastam disatukan dengan Pejabat Perbendaharaan dengan nama Jabatan Kastam, Treasury dan Monopoly.

1920

Tarif Kastam telah dipinda dengan mengurangkan kadar cukai bagi barang makanan dan alat-alat rumahtangga  manakala kadar cukai bagi minuman keras dan barang-barang berharga (luxurious goods) pula telah dinaikkan.

Berpindah ke bangunan baru yang terletak di Jalan McArthur, Bandar Brunei.

1924

Pos Kawalan baru di Brooketon,  Pekan Muara dan Kg. Semburuh, Kuala Belait dibuka.

1930

sehingga tahun 1933, Jabatan Kastam berpisah dengan Pejabat Perbendahaaan tetapi bergabung dengan Jabatan Laut menjadi Jabatan Kastam, Laut dan Monopoly.

1933

Jabatan Monopoly dipisahkan dari Jabatan Kastam dan Laut.

1942

sehingga tahun 1974, Jabatan ini menggunapakai Pakaian Seragam berwarna kelabu.

1946

sehingga tahun 1951, Jabatan Kastam dan Laut diketuai oleh Pengawal Kastam Awg D. Trumble.

1948

Gelaran "Pengawal Kastam" berubah kepada "Pesuruhjaya Jabatan Kastam dan Laut".

1952

sehingga tahun 1954, Jabatan Kastam dan Laut diketuai oleh Pengawal Kastam Awg Corigan.

1954

5 Julai, pindaan keatas Udang-undang Kastam (Undang-undang No.5 1954) dan sekarang dikenali sebagai Akta Kastam.

1955

sehingga tahun 1958, Jabatan Kastam dan Laut diketuai oleh Pengawal Kastam Awg R.E. Charter.

1956  Jabatan Kastam dipisahkan dari Jabatan Laut
1957

15 Jun, Jabatan Kastam di Pekan Kuala Belait dibuka dan diresmikan oleh KDYMM Sultan Omar Ali Saifuddin Khairi Waddien (Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam pada masa itu).

1958

22 Disember - 1 Disember 1974,  Awg Othman Chua Kwong Soon, anak tempatan pertama dilantik menjadi Pengawal Kastam.

1 April, "Merchandisation of Trade Statistics" mula diperkenalkan selaras dengan sistem koding "Standard International Trade Classification (SITC)" sebagai buku rujukan mengenai perjenisan barangan dan klasifikasi.

1967

1 Januari - 31 Disember 1974, YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibon Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dilantik menjadi Timbalan Pengawal Kastam yang pertama (sewaktu YAM memegang jawatan sebagai Timbalan, YAM dianugerahkan beberapa gelaran iaitu YAM Pengiran Maharajah Setia Laila Diraja Sahibul Irshad pada 14 Januari 1970 dan YAM Pengiran Shahbandar Sahibul Bandar pada 2 Ogos 1972).

1968

Pos Kawalan Kastam Sungai Tujoh, Kuala Belait mula beroperasi.

1975

1 Januari - 1 April 2000, YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibon Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, dilantik menjadi Pengawal Kastam & Eksais Diraja.

sehingga 30 September 2002, Jabatan ini menggunapakai Pakaian Seragam berwarna krim.

1979

24 Disember, Perubahan perkataan 'Bea' (Jabatan Kastam dan Bea) kepada 'Eksais' (Jabatan Kastam dan Eksais) telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Bhg. 1.

1980

12 Julai, Jabatan ini menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Membaca Al-Quran Antara Jabatan-Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam kali ke 4 di Dermaga Kastam, Bandar Seri Begawan.

1981

30 Mac, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam berangkat melawat Jabatan Kastam dan Eksais.

1984

Jabatan ini disenaraikan dibawah Kementerian Kewangan selepas Negara Brunei Darussalam mencapai taraf kemerdekaan.

Jabatan ini menjadi ahli ke 6 kepada ASEAN Working Group On Customs Matters (AWGCM).

29 Mac, Jabatan ini pertama kali mengikuti permesyuaratan AWGCM kali ke 7 di Kuala Lumpur, Malaysia.

1988

12 April, Jabatan ini pertama kali menjadi tuan rumah bagi permesyuaratan AWGCM kali ke 12 dan diresmikan oleh Pengawal Kastam YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibon Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

13 Oktober, Mini Muzium Kastam ditubuhkan  untuk menyimpan bahan-bahan sejarah jabatan ini.

1996

1 Julai, Jabatan ini menjadi ahli Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) yang ke 140.  WCO beribupejabat di Brussel, Belgium.

1998

18 Mac, Jabatan ini berpindah ke bangunan baru di Jalan Menteri Besar.

2000

1 April, YM Awg Mohd Eussoff Agaki bin Haji Ismail dilantik menjadi Pengawal Kastam & Eksais Diraja (Pada 15 Julai 2003, beliau telah dikurniakankan Bintang kebesaran Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (DPMB) yang membawa gelaran Dato Paduka oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda yang ke 57 tahun).

Jabatan ini mengadakan Pertandingan Kawad Kaki kali pertama bagi pegawai dan kakitangannya bertempat Padang Kawad, Ibu Pejabat Kastam dan diresmikan oleh YM Pmk. Pengawal Kastam Pengiran Haji Naserudin bin Pengiran Haji Tejudin.

16 September, Jabatan ini mempengerusikan Second Session Of The APEC - SCCP Meeting bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC).

2001

26 Januari, Jabatan ini pertama kali meraikan Hari Kastam Antarabangsa (International Customs Day).

  23 June, Pelancaran JKED ABAD ke 21- Visi, Misi dan Matlamat jabatan.
  Disember, Jabatan ini telah mula menerbitkan Buletin Kastam.
2002

1 Oktober, Jabatan ini telah mengadakan Majlis Pelancaran Pakaian Seragam bagi Pegawai-Pegawai dan Anggota Kerja jabatan ini dimana warna Pakaian Seragam tersebut ditukar kepada warna biru.   Pakaian Seragam baru ini telah mula digunapakai pada 15 Julai 2002 sempena Hari Puja usia KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam yang ke 56 tahun.

 

Bangunan lama, 
di Jalan Mac Arthur
( dari tahun 1920 )

Bangunan sekarang, 
di Jalan Menteri Besar
( dari tahun 1998 )

 

Pakaian Seragam 1942 - 1974

Pakaian Seragam 1975 - Sept, 2002


Pakaian Seragam masa kini