Suami isteri diberkas kerana seludup
Oleh Haji Md Said Arshad

Warga asing diambil maklumat peribadi masing-masing oleh
pihak berkuasa.
|

Bungkusan sayap ayam yang yang cuba diseludup pasangan suami
isteri itu.
|
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Sepasang suami isteri warga tempatan
diberkas polis setelah cuba menyeludup masuk lebih 90 kilogram sayap
ayam dari negara jiran.
Pasangan itu ditahan ketika sedang memandu sebuah kereta berisi
sembilan kotak barang tegahan itu di Jalan Limau Manis menuju
Kampung Lambak oleh tiga anggota polis dari Balai Limau Manis ekoran
menerima maklumat dari orang ramai.
Menurut jurucakap polis, sayap ayam berkenaan diseludup masuk
oleh pasangan terbabit melalui 'lorong tikus' di kawasan Kuala Lurah.
Dalam perkembangan berasingan semalam, sepasukan anggota polis
dari balai yang sama melancarkan serbuan ke kawasan kediaman pekerja
asing di Kampung Masin.
Hasil serbuan itu, 13 pekerja warga asing dibawa ke Balai Polis
setelah gagal menunjukkan dokumen yang sah ketika pemeriksaan
dijalankan ke atas mereka.
Bagaimanapun, beberapa orang daripada mereka kemudian dibebaskan
setelah majikan masing-masing hadir di balai polis untuk menyerahkan
dokumen pekerja yang mereka simpan sementara yang lain ditahan di
Balai Polis Limau Manis.