Rabu, 25 Februari 2004

Kastam rampas Rokok seludup

Oleh Awangku Md Shahrom Pengiran Ladun

Sebahagian rokok seludup yang dibuang ke dalam belukar.

 


Minuman keras yang ditemui dalam kereta.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa - Jabatan Kastam hari ini menumpaskan satu kegiatan penjualan rokok dan minuman keras yang diseludup ekoran rampasan hampir 2,000 paket rokok tanpa tanda amaran kerajaan Brunei, 132 tin bir dan 232 botol arak pelbagai jenama di kawasan Tapak Perindustrian Kampung Salar.

Operasi pada pukul 7 pagi itu melibatkan sepuluh pegawai pencegah kastam Bandar Seri Begawan yang diketuai Penolong Penguasa Kastam membuat pemantauan terhadap sepasang suami isteri warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan menyeludup masuk dan mengedar barang tegahan terbabit.

Setelah beberapa ketika membuat pengawasan beberapa pegawai kastam mengesan seorang wanita yang dipercayai isteri lelaki terbabit bersama anak lelakinya yang ketika itu sedang menuju balik ke rumah mereka di Tapak Perindustrian Kampung Salar lalu mengekori mereka.

Wanita itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya setelah mengambil barang yang diseludup dari sebuah rumah di Kampung Tanah Jambu yang dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan barang seludup.

Setelah mengekorinya, pegawai kastam akhirnya memintas lalu menahan kereta yang dipandu wanita itu di persimpangan kawasan Tapak Perindustrian Kampung Salar.

Hasil penggeledahan kereta tersebut pegawai kastam menjumpai pelbagai jenis rokok dan arak yang diakui wanita itu untuk dijual.

Sejurus selepas itu, pegawai kastam menyerbu pula ke rumah wanita itu dan menjumpai pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang dibuang lebih awal ke kawasan belukar berhampiran rumah pasangan tersebut sebelum ketibaan pegawai kastam.

Ketika disoal siasat lelaki yang dipercayai suami wanita yang ditahan itu tidak mengaku bersalah dan menafi melakukan perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci untuk mendakwa pasangan suami isteri yang berusia antara 29 dan 38 tahun itu.

Menurut jurucakap Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, rampasan tersebut adalah yang terbesar sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

Pada bulan lalu Kastam berjaya merampas sejumlah besar barangan tegahan di Kampung Mentiri dan mereka yang didapati bersalah dikenakan denda sebanyak $15,000.

Sehubungan itu, Bahagian Pencegah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja meminta kerjasama orang ramai supaya menghubungi pihaknya melalui talian 2382422 atau 8714422 jika mempunyai maklumat mengenai kegiatan menyeludup, mengedar dan menjual barangan tegahan, dengan butiran mengenai mereka yang memberi kerjasama akan dirahsiakan.